Tips Cari Homestay Di Kuala Terengganu

7 TIPS CARI HOMESTAY DI KUALA TERENGGANU.


1.       Kenal pasti tujuan percutian.


Apabila anda ingin mencari dan menempah homestay, tentunya anda sudah pun mempunyai tujuan utama untuk ke mana-mana destinasi.  Jadi, tujuan utama anda itu secara tidak langsung akan menentukan kawasan atau daerah homestay yang akan anda cari dan tempah. 

Namun, anda jangan terlalu terikat pada satu-satu kawasan sahaja kerana kadang-kadang homestay yang di luar kawasan itu (berhampiran dengan kawasan yang anda cari) mungkin lebih berbaloi berbanding homestay yang berada betul-betul di dalam kawasan tersebut. 

Kebiasaannya, ramai yang mencari homestay di Kuala Terengganu adalah untuk tujuan bercuti, aktiviti mencandat sotong, menghadiri majlis perkahwinan dan majlis konvokesyen, pendaftaran pelajar baru di IPT dan berkursus.

Namun, tahukah anda bahawa Kuala Terengganu yang dahulu, kini telah dipecahkan kepada 2 daerah mulai 18 September 2014, iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Ramai orang luar dari negeri Terengganu tidak menyedari perkara ini.  

Bagi orang Terengganu, secara umumnya jambatan Sultan Mahmud menjadi lambang pemisah kedudukan bagi kedua-dua daerah ini.  Antara kawasan yang terkenal di Kuala Nerus ialah Gong Badak, Seberang Takir, Tok Jembal, Wakaf Tembesu dan Mengabang Telipot.  

Dengan keadaan trafik sekarang, jarak daerah Kuala Nerus ke Pusat Bandaraya Kuala Terengganu akan mengambil masa sekurang-kurangnya 20 minit.  Jadi, anda perlulah membuat pemilihan homestay di daerah yang betul dengan lokasi bagi tujuan percutian anda.

Pernah terjadi, salah seorang pelanggan Homestay D’Chendering Kuala Terengganu sebelumnya telah menginap di sebuah homestay di daerah Kuala Nerus.  Dia mempunyai urusan di Stadium Tertutup berhadapan dengan Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama 4 hari.  

Namun, disebabkan oleh anaknya yang tidak selesa di homestay itu, maka dia terpaksa mencari homestay lain. Di situlah dia terjumpa dengan Homestay D’Chendering Kuala Terengganu.  Barulah dia tahu hakikatnya, yang dia telah tersalah pilih kawasan untuk menempah homestay.



2. Kenal pasti jumlah bilangan ahli rombongan.


Sebelum anda mencari homestay, anda perlu mendapatkan anggaran berapakah bilangan orang yang akan turut serta dalam percutian anda itu.  Jika anda telah mendapat jumlah yang betul-betul confirm, itu adalah lebih baik. 

Ini kerana jumlah bilangan orang yang akan turut serta, akan menentukan kapasiti bagi homestay yang ingin anda cari dan tempah.  Terdapat perbezaan kapasiti bagi sesebuah homestay, bergantung kepada jenis rumah (rumah kampung, apartmen, Semi D, Teres atau Banglo) dan reka bentuk.

Jika anda adalah seseorang yang mementingkan keselesaan, pastinya anda tidak ingin berhimpit-himpit dalam sebuah homestay yang kecil semata-mata ingin berjimat.  Kebiasaannya, sesebuah homestay akan menyatakan kapasiti yang mampu disediakan di dalam iklannya.

     3.   Tetapkan budget anda.


Jika anda tidak tahu langsung tentang kadar harga purata sewa semalam bagi sesebuah homestay di Kuala Terengganu, adalah lebih baik untuk anda mendapatkan gambaran harga dengan mencari senarai harga homestay di website Mudah.my.  

Yang pasti, jumlah budget anda akan menentukan kualiti dan kemudahan yang disediakan oleh sesebuah homestay.

Kebiasaannya,homestay yang mempunyai aircond adalah lebih mahal berbanding dengan homestay yang hanya menyediakan kipas.  Homestay yang beroperasi di rumah kayu juga, biasanya adalah lebih murah berbanding dengan rumah batu.  

Jumlah budget juga menolong anda untuk membuat keputusan dalam memilih homestay yang berpotensi.

     4.   Survey atau ‘google search’ homestay yang wujud di kawasan yang anda cari.


Anda perlulah survey terlebih dahulu homestay yang wujud dalam kawasan yang anda cari, contohnya Kuala Terengganu.  Ini memberikan anda peluang untuk mendapatkan  promosi yang berbaloi. Cara yang paling mudah untuk survey adalah dengan menggunakan ‘Google Search’ dan contoh kata kunci 'homestay kuala terengganu'.

Google bukan sahaja akan menyenaraikan laman web, blog atau facebook bagi homestay yang wujud, tetapi juga laman web-laman web yang menyediakan senarai homestay yang wujud di Kuala Terengganu.  Selain itu, anda juga boleh luaskan pilihan anda dengan survey homestay yang wujud di Instagram , Mudah, Airbnb, booking.com, Traveloka.

Namun, apa yang anda harus tahu ialah jika anda dapat menempah homestay tersebut terus dengan pemilik homestay, maka anda mungkin berpeluang untuk mendapat harga yang lebih murah.  Ini kerana kebiasaannya, pihak ketiga seperti Airbnb, Traveloka dan HomeAway biasanya akan menaikkan harga kerana komisen yang perlu dibayar kepada mereka.



     5.    Gunakan ‘google maps’ untuk menganggarkan jarak antara lokasi.


Untuk mengetahui secara tepat jarak antara homestay yang akan menjadi pilihan anda dengan lokasi bagi destinasi utama percutian anda, anda boleh menggunakan ‘Google Maps”.  

Dengan ini, anda akan mendapat gambaran jarak yang akan anda lalui dan anggaran masa yang diperlukan bagi membuat perancangan mengikut jadual anda.



6.   Sediakan senarai homestay mengikut keutamaan anda.

Setelah membuat survey homestay yang wujud, anda perlu sediakan senarai homestay berserta dengan no. telefon yang perlu dihubungi(jika anda ingin berurusan terus dengan pemilik homestay).  Senarai ini perlulah mengandungi sekurang-kurangnya 10 homestay.  

Senarai homestay tersebut perlulah disusun mengikut ‘priority’ berdasarkan kelebihan dan kekurangan sesebuah homestay.  Kenapa perlu ada sampai 10 homestay? Ini kerana jika homestay yang berada pilihan utama telah dibooking orang lain, anda tidak perlu lagi pening kepala untuk memulakan semula proses survey.  Hanya terus beralih untuk senarai yang kedua dan begitulah seterusnya.  

Harus diingat bahawa anda adalah orang yang cukup bertuah jika mendapat homestay yang berada di pilihan utama.  Apatah lagi jika anda ingin booking homestay tersebut dalam tempoh yang singkat dari tarikh percutian anda.

     7.   Hubungi pemilik homestay.


Andaikan anda telah mempunyai senarai homestay di tangan.  Perkara yang terakhir adalah menghubungi terus pemilik homestay.  Anda boleh memilih cara sama ada untuk menelefon, menggunakan whatsapp atau sms sahaja bergantung kepada keselesaan anda.

Perkara yang utama untuk ditanya adalah adakah tarikh yang anda inginkan masih kosong atau telah ditempah.  Jika masih kosong, seterusnya anda boleh bertanyakan tentang harga.  Ini kerana terdapat homestay yang menawarkan harga yang berbeza bergantung kepada jenis dan jumlah hari serta musim sama ada cuti sekolah atau cuti umum.

Akhir sekali, anda perlu tahu syarat-syarat untuk membuat booking.  Semuanya berbeza bergantung kepada homestay tersebut.  Ada sesetengah homestay yang memerlukan pelanggan untuk bank in deposit sebagai pengesahan untuk confirm booking, dan ada yang tidak perlu.

Selain itu, ada juga homestay yang memerlukan pelanggan untuk menambah deposit untuk security deposit yang mana duit ini akan dipulangkan jika tiada kerosakan atau kehilangan barang apabila pelanggan telah check out.

Kami di Homestay D'Chendering Kuala Terengganu mendoakan agar anda akan berjaya mendapat homestay yang murah, berbaloi dan selesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan